spot_img
HomeSemasaSME Bank meterai MoU RM150 juta dengan SDB

SME Bank meterai MoU RM150 juta dengan SDB

KOTA KINABALU: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Development Bank Berhad (SDB) yang merangkumi pelbagai pakej pembiayaan serta program pembangunan usahawan bernilai RM150 juta.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata antara inisiatif yang terkandung dalam MoU bersama SDB termasuk menyediakan Pakej Pembiayaan dengan Jaminan SDB dan kemudahan pembiayaan ‘club deal’ bagi projek berskala besar.

Katanya ia adalah untuk usahawan PKS di negeri Sabah khususnya, perkongsian sumber dan kerjasama melaksanakan program pembangunan usahawan serta mempromosikan kemudahan yang disediakan oleh kedua-dua pihak.

“Sektor yang menjadi perhatian dalam kerjasama ini ialah perindustrian, pelancongan dan aktiviti pembuatan serta perdagangan sektor pertanian yang seiring dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021-2025.

“Kerjasama ini juga adalah salah satu usaha memulihkan kembali prestasi ekonomi negeri Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi di negeri Sabah mengikut Pelan Pemulihan Negara Fasa kedua,” katanya.

Menurutnya SME Bank sudah lama bertapak di Sabah dan melalui tiga buah cawangannya (Pusat Wilayah Sabah, Pusat Enterpris Kota Kinabalu dan Pusat Enterpris Tawau) meluluskan lebih RM118 juta pembiayaan kepada 184 PKS tahun lalu dan bagi tahun ini, sehingga bulan Julai pembiayaan bernilai RM88 juta sudah diluluskan kepada 150 PKS.

“Kerjasama pada hari ini juga satu inisiatif bagi membolehkan SME Bank dan SDB menawarkan pakej yang lengkap kepada usahawan PKS di Sabah secara khususnya.

“Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan yang memegang mandat memupuk dan membangunkan PKS negara, adalah penting untuk SME Bank meluaskan jaringan perkhidmatan agar tidak ada PKS yang ketinggalan dalam menerima bantuan.

“Anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) akan turut sama menawarkan program pembangunan keusahawanan dan keupayaan yang bersesuaian bagi memperkasakan lagi usahawan PKS mengikut ekosistem SDB,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SDB, Datuk Vincent Pung Yee Kiong berkata, Kerjasama di antara SME Bank dan SDB tepat pada masanya bagi menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam sektor PKS ini.

“Sektor PKS memainkan peranan penting dalam perkembangan sosioekonomi negara, terutamanya dari segi sumbangan kepada KDNK dan penyediaan pekerjaan.

“SDB ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada SME Bank kerana memulakan inisiatif menerokai kerjasama ini. Besarlah harapan agar inisiatif pertama ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan,” katanya.

Kolaborasi antara SME Bank dengan MUIS pula akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama bagi menjayakan Program Keusahawanan Asnaf ISHRAF 2.0 yang dijangka bermula pada bulan Oktober 2021.

Melalui kerjasama ini, MUIS akan memilih 10 orang peserta daripada kalangan usahawan Asnaf bagi menyertai Program ISHRAF 2.0 SME Bank.

Para peserta akan mengikuti latihan keusahawanan secara berstruktur yang dikendalikan oleh perunding latihan keusahawanan secara dalam kelas dan sesi bimbingan berkala secara berterusan selama setahun bagi memastikan perkembangan perniagaan serta peningkatan tahap sosioekonomi para peserta, sekali gus mengeluarkan mereka daripada golongan yang menerima zakat kepada kelompok yang mengeluarkan zakat.

ISHRAF adalah satu program yang dirangka khusus untuk pembangunan usahawan Asnaf dan mula diperkenalkan pada tahun 2020 (ISHRAF 1.0). Kehadiran Program ISHRAF adalah tepat pada masanya memandangkan ramai usahawan Asnaf kategori mikro dan B40 terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.

Selain Sabah, Program ISHRAF 2.0 ini juga diperluaskan lagi dengan melibatkan usahawan Asnaf terpilih di lima buah negeri lain iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perlis.

Majlis disaksikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri Kewangan lI Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.-utusan borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular