LAHAD DATU: Seramai 1,338 individu menerima vaksin COVID-19 jenis CanSino menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang diadakan di Kompleks Sukan Lahad Datu di sini, kelmarin.
Program tersebut dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sepanjang program itu berlangsung, sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) turut memainkan peranan dalam melancarkan vaksinasi tersebut.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Lahad Datu, Abdul Hakim Gulam Hassan berkata MOVAK adalah inisiatif bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di daerah ini.
“Program itu terbuka kepada semua penduduk yang berada di lokaliti Kampung (Kg) Puyut, Kg. Panji Kg. Air dan Kg. Bakau. “Program MOVAK tersebut adalah cara terbaik untuk meningkatkan kadar vaksinasi di kawasan bandar dan luar bandar” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.
Justeru, katanya, dengan adanya program seumpama ini diharapkan akan dapat mencapai sasaran 90 peratus komuniti kelompok populasi orang dewasa dalam tempoh masa terdekat.
Dalam pada itu, Abdul Hakim turut mengagih air mineral kepada orang ramai yang berbaris menunggu giliran di luar kawasan kompleks sukan berkenaan.
“Rata-rata penduduk yang saya temui, menzahirkan rasa syukur dan teruja untuk mendapatkan vaksin pertama CanSino.
“Saya difahamkan juga ada diantara penduduk sudah berada di kawasan kompleks sukan itu seawal jam 5 pagi,” katanya.-utusan borneo