Kota Kinabalu: Pembelajaran secara atas talian adalah suatu perkara yang tidak asing lagi dengan keadaan masa kini sejak penularan Covid-19 yang melanda seluruh negara.
Menerusi pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 18 Mac 2020, beliau menjelaskan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan diteruskan secara atas talian sehinggalah ke suatu tarikh yang dibenarkan.
Penutupan pusat-pusat pengajian tinggi serta sekolah-sekolah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan cabaran baharu terhadap pelajar mahupun warga pendidik apabila kaedah pembelajaran secara atas talian dilaksanakan.
Mashor Awang Along, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata salah satu cabaran yang dihadapi adalah dari segi kaedah penyampaian bahan pembelajaran. Jika proses PdP dijalankan secara bersemuka, pensyarah akan banyak menggunakan kaedah yang lebih menarik berbanding atas talian.
“Selain itu, kesukaran untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara pengajar dengan pelajar telah menjadikan kaedah ini sukar serta tidak dapat dilaksanakan. Keadaan ini secara tidak langsung menjadi kekangan kepada saya untuk berinteraksi dengan pelajar” katanya lagi.
Walaubagaimanapun, capaian internet juga turut menjadi salah satu isu terbesar yang mempengaruhi pembelajaran secara atas talian. Kesukaran capaian internet terutamanya di kawasan kampung dan pendalaman secara tidak langsung mengganggu proses PdP.
“Tahap penerimaan pelajar terhadap pembelajaran atas talian juga kurang memuaskan. Ini kerana persekitaran pembelajaran yang kurang kondusif turut menyebabkan kesukaran kepada pelajar dalam memberikan tumpuan semasa sesi pembelajaran dijalankan” ujarnya lagi.
Bahkan, sikap segelintir ibu bapa yang kurang beri kerjasama turut menyebabkan proses pembelajaran terganggu.
Dengan ini, semua pihak mestilah berganding bahu dalam semua aspek bagi merealisasikan kaedah pembelajaran secara atas talian dengan lebih baik bagi melahirkan masyarakat yang lebih berjaya serta menyumbang kepada kepentingan negara pada masa akan datang.
Penulis: Nur Hafizah Zulkifli