KOTA KINABALU : Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengumumkan petang tadi bahawa Sabah telah merekodkan sebanyak 487 kes baharu COVID-19 hari ini dengan penurunan sebanyak 13 kes berbanding semalam yang merekodkan sebanyak 500 kes.
Masidi Manjun berkata, walaupun kes menurun, bilangan daerah yang mencatatkan peningkatan adalah melebihi jumlah daerah yang mencatatkan penurunan.
“15 daerah menunjukkan peningkatan kes dan 10 daerah mencatatkan penurunan, manakala dua daerah lagi tiada perubahan jumlah kes,”tambah beliau.
“Daerah yang menunjukkan penurunan yang ketara adalah Kota Kinabalu, Ranau, Kota Belud, Kuala Penyu, Tuaran, dan Tenom. Daerah yang mencatatkan peningkatan ketara ialah Kota Marudu, Beaufort, Putatan, Beluran, dan Pitas,”tambah beliau lagi.
Menurut Masidi juga, terdapat dua kes yang berlaku lebih awal namun lewat didaftar iaitu selepas keputusan diketahui.
“Kes berpunca daripada saringan bergejala atau kes sporadik sebanyak 195 kes atau 40 peratus dan kes berkenaan dipercayai berpunca dari individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP),”tambah beliau.