KOTA KINABALU : Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan hari ini di The Magellan Sutera Resort.
Majlis tersebut disaksikan oleh Datuk’ Seri Panglima Bung Moktar, Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Kerja Raya Negeri Sabah.
Pengerusi Qhazanah Berhad, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata kerjasama tersebut melibatkan 4 buah syarikat, salah satu daripadanya adalah anak syarikat milik penuh Qhazanah Sabah Berhad iaitu, WHSB Venture Sdn Bhd yang akan bekerjasama dengan syarikat Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan Guangcai China (M) Sdn Bhd.
“Kerjasama ini akan menyaksikan pelaksanaan projek perkhidmatan Skytrain pertama di Sabah dan Jesselton New City. Projek Skytrain tersebut akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan melalui pusat bandar,”katanya.
Salleh menyatakan bahawa pelaksanaan projek tersebut dapat membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mengejar arus pembangunan negeri Sabah sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.


