spot_img
HomeSemasa3 Disember diisytihar Hari Batik Malaysia

3 Disember diisytihar Hari Batik Malaysia

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam telah mengisytiharkan 3 Disember ini sebagai Hari Batik Malaysia.

Beliau berkata kerajaan berharap pengisytiharan itu akan menggalakkan semua rakyat termasuk sektor swasta dan masyarakat berbilang kaum untuk memakai batik Malaysia.

“Langkah tersebut selaras dengan konsep Keluarga Malaysia di mana rakyat berbilang kaum bersatu dalam menyarungkan keunikan dan keindahan batik tempatan,” tambahnya.

“Pengisytiharan Hari Batik Malaysia ini juga boleh menjadi pemangkin untuk mengukuhkan industri kraf batik tempatan dan rangkaian pengeluaran batik tempatan negara,”tambahnya lagi.

Menurut Ismail Sabri, pemilihan tarikh yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 26 November lalu adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan minat terhadap kraf batik yang ditunjukkan Tun Endon Mahmood, iaitu arwah isteri perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Allahyarhamah Tun Endon telah memulakan gerakan Batik Buatan Dunia untuk membawa batik tempatan ke peringkat antarabangsa pada 3 Dis 2003,”tambahnya.

Di kesempatan itu juga, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) atas usaha gigih mereka dalam membangunkan industri kraftangan melalui Kraftangan Malaysia agar kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular