Kota Kinabalu: Siren amaran bencana yang dibunyikan di bangunan Rumah Persekutuan dan kawasan sekitarnya, telah mengejutkan ratusan petugas dan kakitangan.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dr Norhafifi Ismail, ujian tersebut dibuat bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam berhubung nada-nada bunyi amaran sekiranya berlaku sesuatu bencana.
“Pihak APM telah mengeluarkan beberapa jenis nada di mana nada panjang bermaksud semua pihak perlu mengosongkan bangunan manakala nada panjang dan beralun pula membawa maksud pemeriksaan telah dibuat dan keadaan adalah selamat,” katanya.
Dr Norhafifi turut menyatakan ujian tersebut adalah sebahagian daripada misi menyelenggara dan mengaktifkan siren-siren amaran awam. Siren tersebut merupakan siren elektrik 400 volt yang telah lama dibawa masuk ke Malaysia termasuk Sabah, sekitar tahun 1968 hingga tahun 1970.
Sepanjang sesi uji lari tersebut dijalankan, pihak APM Sabah dibantu Pihak berkuasa bagi mengawal keadaan daripada berlakunya kesesakan.