spot_img
HomeSemasaKPLB sedia bantu Sabah tangani masalah air

KPLB sedia bantu Sabah tangani masalah air

Kuala lumpur: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia untuk bekerjasama dan membantu Kerajaan Sabah menangani isu ketiadaan bekalan air bersih yang kritikal di sesetengah kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedar masih banyak kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang memerlukan peruntukan bagi bekalan air bersih secukupnya.

“Apa yang KPLB buat ialah membantu tempat yang selayaknya mendapat bekalan air tambahan. Kerajaan negeri akan mohon (senarai kawasan) yang terlibat dalam masalah air berpanjangan, khususnya.”

KPLB akan cuba menyelaraskan peruntukan khas bagi setiap kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian namun pemilihan kawasan terkait adalah bergantung kepada kerajaan negeri sepenuhnya.

“Kita bersedia untuk bantu berdasarkan bajet yang diberikan oleh kerajaan. Insya-Allah, jika tempat itu kritikal dan benar apa yang berlaku, kementerian akan mencari peruntukan bagi membantu,” katanya.

Isu ketiadaan air di Sabah ini juga turut  dipandang serius oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hassan A Gani Pg Amir, yang menyatakan kekhawatirannya apabila dilaporkan terdapat penduduk kehilangan nyawa setelah mandi atau mengambil air di sungai kerana dibaham buaya, selain lemas.

Beliau berkata, kes sedemikian berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, khususnya di daerah Kalabakan berpunca daripada ketiadaan bekalan air paip untuk kemudahan penduduk sehingga memaksa mereka menjadikan sungai sebagai sumber air utama.

Sementara itu, Mahdzir berucap berkenaan isu air di sabah itu dalam sidang media selepas melancarkan Program Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular