KOTA KINABALU: Ruslan Muharam, ADUN N34 Lumadan semalam di persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah telah menyuarakan pemasalahan air di daerah Beaufort khasnya di kawasan DUN Lumadan.
Ruslan telah bertanya kepada Pembantu Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Limus Jury tentang status penyelesaian masalah air yang dihadapi di kawasan DUN tersebut.
Masalah itu berkait rapat dengan loji air Beaufort yang gagal menyalurkan air ke kawasan-kawasan kampung terutama sekali di kawasan pendalaman.
Datuk Limus Jury menyatakan gangguan air di daerah Beaufort berlaku apabila musim banjir dan kemarau dimana Loji Rawatan Air (LRA) Beaufort 1 & 2 terpaksa menghentikan rawatan air kerana kadar kekeruhan air melebihi 1,500 NTU.
“Malah pada musim kemarau, LRA Beaufort 2 terpaksa mengurangkan pengeluaran bekalan air terawat disebabkan paras air rendah,” tambahnya.
Limus juga berkata bagi mengatasi masalah kekeruhan air ketika musim banjir di LRA Beaufort 1 & 2 pengunaan bahan kimia Poly Aluminum Chloride akan digunakan.
“Ini disebabkan ciri-ciri bahan kimia itu sangat berkesan digunakan bagi menjimatkan masa rawatan air ketika air sangat keruh,” tambah Limus.
Linus juga memberi penjelasan berhubung pelaksanaan paip yang diperuntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Pusat yang dilakukan melalui pejabat daerah setakat ini di mana saluran air masih gagal disambung dari batang paip yang dibina oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Beliau berkata kebanyakkan paip daripada Kementerian yang diselia oleh pejabat daerah tidak mengikut spesifikasi dan banyak berlaku kebocoran.
“JANS telah memeriksa dan akan menyeru kontraktor membaiki kebocoran supaya penyambungan paip utama dapat dipulihkan,”
“Ini termasuklah paip-paip yang telah usang yang akan di ganti dan kini sedang dalam pembinaan dan kira-kira 96 peratus akan siap pada 7 Januari tahun hadapan,” tambahnya.
Ruslan berharap masalah air khasnya di dalam kawasan Dun Lumadan segera berakhir agar penduduk dapat menikmati air paip yang bersih.
Beliau juga akan sedaya upaya meleraikan masalah ini dan agensi berkaitan dapat menyelesaikannya secara tuntas demi kesejahteraan rakyat.