spot_img
HomeSemasaKereta terbabas, maut digilis kenderaan lain

Kereta terbabas, maut digilis kenderaan lain

JELI : Seorang ibu kepada tiga anak dilaporkan maut kerana digilis oleh kenderaan lain selepas tercampak daripada kereta yang dipandu suaminya yang terbabas di Jalan Raya Timur Barat pagi semalam.

Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat, mangsa, Kamariah Wahab, 47, meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin menyatakan, kemalangan berlaku semasa mangsa bersama suami dan tiga anaknya menaiki kereta jenis Proton Wira dari arah Gerik, Perak.

“Kenderaan yang dipandu suaminya dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh di kawasan tersebut yang menyebabkan kenderaan mula terbabas masuk ke laluan yang bertentangan”, jelas beliau.

Tambahnya lagi, Proton Wira milik mereka kemudian melanggar Toyota Vios dan Perodua Alza yang datang dari arah hadapan.

Perlanggaran yang berlaku menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kereta lalu digilis Perodua Alza manakala kereta yang dinaiki suami serta anaknya terbakar.

Walaubagaimanapun, suami mangsa, Abd Razak Shalleh, 70, dan tiga orang lagi anaknya berjaya keluar sebelum kenderaan terbakar.

Suami mangsa mengalami cedera parah manakala tiga anaknya, Siti Razanah Abd Razak, 18 mengalami cedera ringan dan Nur Hafeza, 16 serta Nur Zahira, 10, masing-masing bengkak di lutut kanan.

Pemandu serta penumpang Toyota Vios yang terlibat juga cedera ringan manakala pemandu yang menaiki Perodua Alza pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang terlibat terus dibawa ke Hospital Jeli untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba, Adni Ibrahim berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 11.37 pagi dan lapan pegawai serta anggota dikerah untuk bergegas ke lokasi dengan segera.

“Pihak kami difahamkan mangsa dan keluarganya dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ingin menuju ke Kuala Krai. Selepas berlakunya rempuhan antara kenderaan, Proton Wira itu dikatakan berpusing beberapa kali sebelum terbakar dan semasa pihak bomba tiba, kereta tersebut masih terbakar dan kami mengambil masa beberapa minit untuk memadamkannya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular