KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan sejak beberapa tahun lalu, punca utama jangkitan HIV adalah melalui hubungan seksual.
Khairy berkata, statistik tahun 2020 menunjukkan daripada 3,146 jangkitan baharu yang direkodkan, sebanyak 94 peratus daripadanya merupakan transmisi seksual.
“Manakala empat peratus lagi jangkitan dikesan melalui perkongsian jarum suntikan dadah, satu peratus transmisi dari ibu kepada anak dan satu peratus lagi disebabkan oleh sebab-sebab lain,” tambahnya.
Menurut Khairy, statistik juga menunjukkan kebanyakan jangkitan kini menular di kalangan orang muda dengan 76 peratus melibatkan mereka yang berusia antara 20 hingga 39 tahun.
“Usaha semua pihak terutamanya dalam pelaksanaan program pertukaran jarum dan picagari serta rawatan terapi gantian metadon pada 2006 telah berjaya mengurangkan lebih separuh jangkitan di kalangan pengguna dan penagih dadah dalam tempoh lapan tahun selepas ia dimulakan,” tambahnya.
“Oleh itu, kempen kesedaran di kalangan orang muda amat penting untuk dilaksanakan terutamanya mengenai pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif,” tambahnya lagi.
Khairy berkata, walaupun berdepan pandemik COVID-19, negara telah membelanjakan hampir RM100 juta untuk AIDS pada tahun lalu dengan kebanyakannya adalah bagi tujuan rawatan dan pencegahan.
Di kesempatan itu, Khairy mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Yayasan AIDS Malaysia atas penganjuran Majlis Makan Malam Gala Reben Merah dan Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah Sunway-Yayasan AIDS Malaysia (MAF) 2021 semalam.
Khairy juga menyatakan dalam kita menyantuni dan membantu para pesakit HIV serta AIDS, kita harus mendidik orang ramai supaya tidak mendiskriminasi golongan ini.
“Kerana selain berdepan cabaran kesihatan, mereka juga berdepan stigma dan persepsi negatif masyarakat,” tambahnya.


