SEMPORNA: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) melalui kerjasama bersepadu diantara tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA berjaya mematahkan cubaan dua buah bot yang membawa PATI warga Filipina menyusup masuk ke negara ini, kelmarin.
Semasa rondaan dan tinjauan udara dilaksanakan, TRILAT 01, iaitu pesawat jenis C-130H milik TUDM telah mengesan tiga buah bot dari arah Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke Bangau-Bangau, Semporna, Sabah melalui kawasan Perairan Malaysia. TRILAT 01 telah melaporkan pengesanan tiga buah bot tersebut kepada Malaysia Maritime Command Centre (MCC) berpusat di MK ATB 2 untuk diambil tindakan lanjut.
KD BAUNG yang berada berhampiran lokasi kejadian turut dihubungi oleh TRILAT 01 dan Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 untuk memantau ketiga-tiga bot tersebut. POWB ATB 2 juga telah mengarahkan KD BAUNG untuk mengekori dan memantau bot tersebut sehingga VIPER 02 dan VIPER 05 Tim QRF tiba di lokasi tersebut.
Malaysia MCC seterusnya berhubung terus kepada POWB ATB 2 untuk memohon bantuan bot pemintas QRF. Walau bagaimanapun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF.
Ketika dipintas dan diperiksa oleh QRF, kedua-dua buah bot tersebut membawa seramai 42 PATI tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. Mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 10 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan 8 kanak-kanak perempuan berada didalam kedua-dua buah bot berkenaan.
Hasil pemeriksaan rapi yang telah dilaksanakan oleh Tim QRF turut mendapati barangan yang ditemui hanyalah barang-barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang merbahaya atau terkawal.
VIPER 02 dan VIPER 05 telah diarahkan untuk mengusir kedua-dua bot tersebut keluar dari perairan Sabah. Fast Interceptor Craft (FIC 04) bersama Tim PASKAL dan QRF di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) telah diaturgerakan ke perairan Pulau Pom Pom bagi mengesan sebuah bot yang berjaya meloloskan diri.
Walau bagaimanapun, bot tersebut berjaya meloloskan dari pasukan keselamatan yang dijangkakan telah berpatah balik ke sempadan antarabangsa.
Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim bin Ahmad menegaskan bahawa ini merupakan gambaran kerjasama yang erat diantara ketiga-tiga perkhidmatan ATM dalam mengaturgerakkan aset-aset perkhidmatan bagi penyatuan rondaan yang efektif melibatkan kesemua elemen yg ditugaskan di kawasan Pantai Timur Sabah.
Operasi sebegini akan sentiasa diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan juga menyekat penularan wabak COVID-19.
Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia MCC, POWB ATB 2, PL TSR, KD BAUNG dan Tim QRF dan PASKAL yang terlibat di dalam pengusiran PATI tersebut.
Beliau menegaskan, pasukan keselamatan sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasinya sebilang masa. Beliau juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat di atas sokongan pelaksanaan operasi ini.
Kerjasama ini telah menggambarkan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius oleh semua agensi penguatkuasaan demi kedaulatan di Pantai Timur Sabah.