Johor bahru: Polis menahan seorang lelaki terlibat kes penculikan terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari rumahnya di Taman Teratai, Kangkar Pulai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan dari rumahnya berlokasi di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng tepat pada 4.45 petang semalam.
“Suspek melarikan seorang kanak-kanak perempuan kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu dengan menaiki kereta milik suspek sendiri”
“Kemudian suspek bertindak membawa mangsa ke Stulang Laut di sini dan melakukan samun terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur lingkungan 20 tahun dan mengakibatkan kerugian anggaran RM500”
“Mangsa diarahkan oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di dalam kereta yang dipandu oleh suspek”
Menurut beliau, suspek kemudiannya meninggalkan mangsa OKU terbabit di tepi jalan Stulang Laut dalam keadaan selamat, manakala kanak-kanak terbabit yang dalam ketakutan serta trauma ditemui orang awam di depan kedai makan di Kangkar Pulai.
Dalam pada itu, kereta suspek berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit juga dirampas sebelum diputuskan suspek akan direman lima hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri trauma selepas anak sulung mereka yang berusia tujuh tahun hilang dipercayai diculik dari kediaman mereka di Taman Teratai.- Berita Harian


