KUALA LUMPUR : Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamad Sadique mendapat kelulusan SOP pada Mesyuarat Kuartet Menteri-menteri mengenai Covid-19 semalam.
Kementerian Perpaduan Negara, dalam satu kenyataan semalam, berkata ia adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) sambutan Krismas pada 24 dan 25 Disember depan.
Kenyataan itu menyebut upacara sembahyang dibenarkan mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Bukan Islam di bawah Pelan Pemulihan Nasional.
Selain itu, hanya mereka yang telah lengkap divaksin dibenarkan membuat lawatan keluarga semasa Krismas.
Menurut kenyataan itu juga, carolling dari rumah ke rumah adalah dilarang manakala gerai jualan Hari Krismas boleh didirikan tertakluk kepada kelulusan dan kawalan pihak berkuasa tempatan.
Manakala, persembahan koir di gereja sempena Krismas juga dibenarkan dengan syarat mereka yang terlibat mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai topeng muka atau pelindung muka.
Halimah juga menggesa penganut Kristian untuk menyambut Krismas di bawah norma baharu dengan sentiasa mematuhi SOP, termasuk memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan fizikal, bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia. — Bernama