KENINGAU : Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim melakar sejarah apabila dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (KPD) wanita yang pertama di Sabah.
Pelantikan tersebut adalah untuk menggantikan jawatan KPD Keningau yang sebelum ini dipegang oleh Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain.
Majlis serah terima tugas berkenaan berlangsung semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau yang disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Nor Rafidah bersyukur dan berterima kasih kepada pimpinan PDRM kerana diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai KPD.
“Tugas diberikan ini ialah satu cabaran terbaru bagi diri sendiri 14 tahun selepas menceburi bidang kepolisan,” tambahnya.
“Walaupun jawatan sebagai KPD nampak berat tetapi ia tidak akan melunturkan semangat saya untuk mengalas tanggungjawab ini,” tambahnya lagi.
Kesempatan itu, Datuk Jauteh Dikun berkata pelantikan tersebut adalah bukti kecemerlangan serta kebolehupayaan seorang pegawai kanan polis.
“Menerusi pelantikan itu juga, jelas menunjukkan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tidak menilai kesesuaian jawatan melalui jantina namun sebaliknya melihat kepada prestasi dan kebolehan dalam memimpin,” tambahnya.
Jauteh mendoakan yang terbaik kepada KPD baharu Keningau sepanjang menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
“Ucapan tahniah juga kepada bekas KPD, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain yang akan bertukar ke KPD Kota Belud serta dinaikkan pangkat,” tambahnya.


