spot_img
HomeSemasaKerja pembersihan 4,000 kg sampah di Taman Awam Teluk Likas

Kerja pembersihan 4,000 kg sampah di Taman Awam Teluk Likas

KOTA KINABALU: Sebanyak 4,000 kilogram (kg) sampah di pantai Taman Awam Teluk Likas berjaya dibersihkan oleh para petugas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) semalam.

Seramai 150 orang pekerja dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) dan Jabatan Landskap (JL) DBKK terlibat dalam tugas pembersihan sampah di kawasan terbabit sejak awal pagi.

Mayor DBKK Datuk Noorliza Awang Alip berkata,  pantai Taman Awam Teluk Likas merupakan salah satu kawasan mendaratnya sisa sampah yang mengikut air pasang surut laut.

“Daripada kerja pembersihan ini, dapat dilihat kesungguhan dan kegigihan anggota pembersihan untuk membersihkan sampah yang mendarat Sabtu lepas sehingga ke subuh hari Ahad.

“Mereka diarahkan menjalankan kerja-kerja pembersihan seawal jam 4 pagi bagi memastikan tepian pantai sehingga jalan raya bersih setiap kali musim tengkujuh.” jelasnya.

Kakitangan pembersihan bergerak dalam kumpulan mengikut kepakaran tersendiri dengan jentera masing-masing bermula dari jalan bulatan Wisma Perindustrian sehingga ke Anjung Senja.

Semua sampah yang dikumpulkan kemudiannya dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang di kawasan berdekatan.

Menurut beliau, antara sampah yang dikutip oleh para petugas seperti bekas botol minuman plastik, beg plastik, pembungkus makanan plastik, ranting dan dahan kayu. Kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya kira-kira jam 2 petang semalam.

“Hasil pemerhatian mendapati, sisa sampah berkenaan adalah jenis sisa tidak mudah terurai dalam tempoh masa yang singkat. Sisa plastik buangan itu boleh menjadi punca kepada berlakunya pencemaran alam sekitar, memusnahkan hidupan marin, burung dan kerangan di lautan.

“Dengan itu, pelbagai usaha digiatkan agar masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sama ada di darat mahupun di lautan.” tambahnya lagi.

Kempen-kempen diwujudkan bertujuan memberi kesedaran orang ramai agar sentiasa peka kepada keperluan untuk membuang sampah dengan cara yang betul bagi melindungi dan menjaga alam sekitar dan kebersihan bandaraya.

Namun begitu, tanggungjawab itu sentiasa diserahkan bulat-bulat kepada pihak berkuasa tanpa sokongan dan komitmen jitu daripada masyarakat.

Noorliza berkata, masyarakat seharusnya lebih prihatin tentang kesan yang akan berlaku sekiranya sampah dibuang di atas jalan raya atau tempat awam lain akan hanyut ke dalam longkang dan sungai selepas hujan, ditambah lagi yang dibuang secara terus ke perairan.

Justeru itu, keadaan inilah menjadi penyumbang kepada masalah yang lebih besar lagi seperti banjir dan memerlukan peruntukan yang lebih tinggi untuk mengatasinya serta melibatkan orang awam lain yang terlibat kesan dari banjir berkenaan.

Akhir kata, demi kebaikan bersama jalan paling mudah adalah buanglah sampah di tempat yang disediakan bagi mengurangkan kesan yang memberi implikasi buruk kepada kita sendiri. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab untuk melindungi alam sekitar kerana kalau bukan kita siapa lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular