SHAH ALAM: Seorang pemandu treler berumur 37 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 10 tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan 10 individu, termasuk sembilan keluarga maut dalam tragedi sabtu lalu.
Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan ke atasnya yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.
Mohd Rafi yang memandu treler jenis Hanvan didakwa memandu kenderaan dengan berbahaya dan telah menyebabkan kemalangan yang membawa kepada kematian sembilan sekeluarga yang menaiki sebuah kereta dengan nombor pendaftaran WNL 1061 dan seorang pemandu kereta dengan nombor pendaftaran MAS 6651.
Mangsa terlibat yang menaiki kereta WNL 1061 ialah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan beradik, Mohd Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan; Puteri Nur Ain Shalwana, 3; Mohd Hidayat Hakimie, 7; Mohd Rokaizat Rezky, 9; Mohd Aizat Syazwan, 10; Puteri Hidayah, 12, Razatul Aliah, 16 dan Mohd Razarul Amin, 17.
Manakala seorang lagi mangsa merupakan pemandu kereta MAS 6651 ialah Muhammad Rahimi Rolex, 27. Seramai 17 orang mangsa terlibat di mana 10 maut manakala 7 orang lagi cedera.
Mohd Rafi didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Elite dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke arah Shah Alam sekitar jam 12.02 malam, 18 Disember lalu.
Suspek dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika disabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi.
Mohd Rafi yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan isterinya tidak bekerja dan kini menjaga seorang anak yang sakit di Hospital Melaka.
Susulan itu, Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan bersama syarat tambahan lesen memandu tertuduh akan digantung serta merta, selain memerintahkan tertuduh untuk melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.
Sebutan kes ditetapkan pada 27 Januari 2022.
Sebelumnya, tertuduh telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan kemalangan yang membabitkan treler dipandunya serta tiga kereta yang telah menyebabkan kematian 10 orang mangsa, Sabtu lalu. – Hmetro


