Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memburu 12 suspek kru kapal Indonesia selepas disyaki melakukan rompakan terhadap 1.8 juta liter minyak diesel bernilai RM4.86 juta dalam kejadian pada 5 Oktober lalu.
Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung kecurian yang berlaku terhadap Ocean Pride.
Menurutnya, laporan kejadian dibuat pengurus operasi syarikat perkapalan berkenaan selepas mereka gagal menghubungi vesel terbabit dan dipercayai kapal itu dirompak oleh kru kapal Ocean Pride sendiri sebelum lari dan meninggalkan kapal terbabit di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, Johor.
“Suspek buruan ialah Haryadi Tri Tomi nombor pasport B9706316, Mangalik Despiandri (C7309394), Nordiansyah Muhammat (C1366351), Pasaribu Suherri Nanda (C2081744), Pinem Jendri (C6787829) dan Prasetyo Agung (C7021189)”
“Turut diburu Saputra Pandu Prasetya (C7573439), Siddiq Muhammad (C7309737), Silaban Rusman (B5670491), Syahputra Haloho Maraek (C7307752), Tarigan Harry Pranata (C7308182) dan Yusran (C3899964)”
Terdahulu, APMM menerima laporan awam berkaitan kapal terbabit yang disyaki berlaku cubaan rompakan di kedudukan 23.6 batu nautika timur, Tanjung Siang, Johor.
Hasil pemeriksaan oleh aset APMM di lokasi mendapati, kapal itu ditinggalkan tanpa kru dan kargo diesel dianggarkan 1,800,305 liter diesel bersamaan RM4.86 juta juga dicuri.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengenali penama berkenaan diminta menghubungi Komander (M) Mohd Affandi Ismall (03-89957935) atau Leftenan (M) Mohd Feerdaus Daud (pegawai penyiasat 07 8916595) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim ibu pejabat Maritim Negeri Johor atau ke pejabat Maritim Malaysia berhampiran” tambahnya lagi. -Harian Metro


