KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Invest Sabah Bhd (ISB) yang kali kedua di Menara Kinabalu semalam.
Hajiji menyatakan bahawa negeri Sabah merupakan negeri ketiga dalam negara yang telah menerima jumlah pelaburan tertinggi bernilai RM4.4 bilion dalam sektor pembuatan yang diluluskan oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
“Ini merupakan berita baik buat negeri Sabah dengan harapan ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini,” tambahnya.
“Menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi meningkatkan pelaburan negeri, kita telah berjaya memeterai tiga projek berimpak tinggi iaitu Lok Kawi Resort City, pembinaan fasiliti pembuatan kerajang tembaga dan Projek Kelapa Bersepadu dengan beberapa lagi projek berimpak tinggi akan menyusul yang pastinya akan terus memacu ekonomi negeri dan rakyat,” tambahnya lagi.
Di kesempatan itu, Hajiji menggesa semua pihak untuk mengekalkan momentum ini serta terus bersinergi antara agensi negeri dan persekutuan bagi memacu pelaburan negeri ini.
“Selain itu, dalam pada masa yang sama terus berusaha untuk menghapuskan halangan birokrasi yang akan membantutkan niat para pelabur untuk melabur di negeri Sabah,” tambahnya.


