spot_img
HomeSemasaMalundrakna barongko ugi ae, nyamannya barongko Bugis

Malundrakna barongko ugi ae, nyamannya barongko Bugis

Sabah sememangnya cukup dikenali dengan kepelbagaian warisan budaya, termasuklah makanan tradisi setiap etnik yang unik dari segi rasa mahupun cara pembuatannya.

Barongko adalah salah satu makanan tradisi bagi komuniti Bugis di Sabah, khususnya di daerah Tawau. Dapat dikatakan bahawa Barongko merupakan makanan yang mewah kerana dahulunya disajikan khas untuk keturunan raja-raja sahaja dalam acara tertentu seperti perkahwinan. Namun, hari ini ianya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut ahli Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), Jumiati Anwar, kaedah pembungkusan Barongko menggunakan daun pisang bertujuan untuk mendapatkan aromanya yang wangi sekali gus mengekalkan kaedah pembungkusan tradisional itu sendiri.

“Sebaiknya daun pisang tersebut dijemur terlebih dahulu, kemudian dipanggang seketika agar lebih tahan lama dan dapat menghasilkan bentuk pembungkusan yang diinginkan,” katanya lagi.

Barongko yang dibungkus dengan daun pisang. – Foto Norafizah Izwanie

Proses penghasilan Barongko ini tidaklah serumit yang disangka kerana hanya memerlukan empat bahan sahaja, iaitu pisang, telur, santan dan juga gula. Teksturnya yang lembut dan rasanya yang manis sangat sesuai untuk dijadikan sebagai juadah pencuci mulut.

Jelas beliau, sekiranya acuan Barongko tersebut kental pasti lagi nyaman.

Bahan membuat barongko sangat mudah didapati. – Foto Norafizah Izwanie

Sebelum dihidangkan, Barongko diletakkan ke dalam peti sejuk terlebih dahulu untuk mendapatkan rasa yang lebih enak.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemanisan rasa yang ada pada Barongko itu sendiri telah membuatkannya digemari ramai. Oleh itu, peranan generasi muda amat penting dalam memastikan makanan tradisi ini terus kekal dan tidak hilang ditelan zaman.

Penulis: Norafizah Izwanie Nordin

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular