ISTANBUL : Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Jafry Ariffin telah mengadakan satu pertemuan khas dengan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir semalam.
Jafry berkata Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik yang mampu memikat hati pelancong Turki.
“Sabah juga miliki banyak kawasan pemandangan indah khususnya produk pelancongan alam semulajadi, dan keunikan budaya yang tersendiri,” tambahnya.
“Rakyat Turki juga gemarkan aktiviti seperti menyelam, saya pasti mereka akan melancong ke Sabah kerana salah satu tapak menyelam iaitu Pulau Sipadan yang merupakan antara tapak menyelam terunggul di dunia,” tambahnya lagi.
Selain itu, Jafry turut membincangkan cabaran industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, serta inisiatif bagi memulihkan semula industri pelancongan dan kebudayaan.
Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul iaitu Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir turut berkongsi maklumat berkenaan promosi pelancongan yang boleh dilakukan di Turki.
Antaranya adalah menerusi ekspo dan pameran seterusnya melalui platform digital.
Jafry berkata Lembaga Pelancongan Sabah turut mengadakan persembahan produk pelancongan menerusi majlis makan tengahari bersama pemain-pemain industri pelancongan Turki.
“Ia dijangka bakal membuka ruang dan peluang rangkaian kerjasama dalam sektor pelancongan yang dapat membawa kebaikan kepada kedua-dua negara,” tambahnya.
Menurut Jafry, jumlah kemasukan pelancong dari Turki ke Malaysia pada tahun 2019 adalah seramai 15,290 orang daripada jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa sebanyak 26.1 juta orang.