spot_img
HomeSemasaMySJ Trace fungsi tambahan terbaru aplikasi MySejahtera

MySJ Trace fungsi tambahan terbaru aplikasi MySejahtera

PUTRAJAYA : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa agensi kerajaan yang lain memperkenalkan fungsi MySejahtera Trace (MySJ Trace) di dalam aplikasi MySejahtera sedia ada.

Menurut MOSTI dan KKM, MySJ Trace merupakan fungsi tambahan kepada aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19 dengan menggunakan teknologi bluetooth.

Fungsi MySJ Trace dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate and Support (FTTIS), iaitu satu daripada program pemantauan oleh KKM dalam aktiviti pencegahan dan mengawal penularan jangkitan COVID-19.

MOSTI dan KKM dalam kenyataan semalam menyatakan, bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan Covid-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.

“Apabila seorang individu itu disahkan positif Covid-19, notifikasi akan diperoleh melalui aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan,” jelasnya.

Menurut MOSTI dan KKM juga, sekiranya individu tersebut memberikan kebenaran, MySejahtera akan memberikan akses kepada KKM untuk melakukan penilaian risiko ke atas data-data kontak rapat yang dikesan daripada penggunaan bluetooth itu.

“Setelah kebenaran diberikan, KKM akan menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat yang dikenal pasti,” jelasnya.

“Bagaimanapun, sekiranya individu yang didapati positif Covid-19 tidak memberikan kebenaran, MySejahtera tidak akan memberikan akses kepada KKM dan aktiviti pengesanan kontak rapat akan dilakukan secara manual,” jelasnya lagi.

MOSTI dan KKM menyatakan aplikasi MySJ Trace ini menggunakan anonymized Unique User ID (UUID) dan tidak mengumpul maklumat pengguna serta geo-lokasi dimana data tersebut hanya boleh diakses oleh KKM dan disimpan dalam peranti pengguna untuk tempoh 14 hari.

“Keseluruhan proses pengesanan kontak dan penyimpanan data juga adalah dijamin keselamatan dan kerahsiaannya oleh kerajaan,” jelasnya.

Untuk makluman, dengan bermulanya fungsi MySJ Trace ini, modul daftar keluar atau check-out akan diberhentikan dan dikeluarkan daripada aplikasi MySejahtera.

MOSTI dan KKM menasihatkan orang awam agar mengemaskini aplikasi MySejahtera bagi mengaktifkan fungsi MySJ Trace.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular