spot_img
HomeSemasaSabah, Sarawak, Johor diminta waspada hujan lebat berterusan

Sabah, Sarawak, Johor diminta waspada hujan lebat berterusan

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Sabah dan Sarawak digesa untuk berwaspada susulan amaran hujan lebat berterusan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Pembukaan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sebagai tindakan awal dan langkah berjaga-jaga turut bermula.

JBPN negeri terbabit turut diarahkan untuk memaklumkan semua agensi-agensi responder agar terus bersiap siaga sekaligus membuat persediaan dalam pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan menyelaras bantuan dari badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata laporan daripada PKOB negeri bagi kawasan-kawasan yang pernah mengalami banjir sebelum ini juga perlu dilaporkan.

“Berkenaan bantuan-bantuan logistik yang diperlukan juga sedang diselaras oleh NADMA dan pembawaan unit pam JPS dari Ipoh ke Taman Sri Muda di Shah Alam dan Mentakab, Pahang sedang dipergiatkan,” katanya dalam sidang media semalam.

Daripada perkembangan terkini, Aminuddin berkata, berdasarkan analisis, MET Malaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku pada 27 hingga 31 Disember ini dan pada masa yang sama, terdapat sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.

“Melihat keadaan ini, potensi hujan berterusan di Sabah Timur, Sarawak Barat pada 27 Disember hingga 31 Disember serta di kawasan-kawasan Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 30 dan 31 Disember sangat tinggi.” tambah beliau lagi.

JPS turut melaporkan kebanyakan sungai di Pahang berada pada tahap yang baik kecuali di hilir, khususnya di kawasan Bera dan Maran yang masih mencatatkan paras tinggi, namun begitu, air sudah mula bergerak turun dari semasa ke semasa.

Di bahagian Pekan pula, air dilaporkan naik di Paloh Hinai dan boleh meningkat ke paras bahaya sekiranya air dari hulu tiba, manakala di Terengganu, paras air sungai berada pada tahap normal dan Kelantan hanya merekodkan satu lokasi masih berada pada paras amaran, iaitu di Rantau Panjang berikutan banjir genang.

Sementara itu , semua sungai di Selangor dilaporkan kembali kepada paras waspada tengah hari tadi dan pengoperasian pam sebanyak 22 unit masih diteruskan untuk mengeluarkan air dari kawasan banjir genang, khususnya di Sepang, Labu Lanjut dan Kuala Selangor.

Persediaan semua pihak amat digesa untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa mendatang agar segala kesulitan dapat diurus sebaik mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular