spot_img
HomeSemasaMenemui ajal ketika menyertai perlawanan bola sepak

Menemui ajal ketika menyertai perlawanan bola sepak

PASIR PUTEH: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menyertai perlawanan bola sepak akibat serangan jantung di Padang Bola Selinsing di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6:30 petang itu, mangsa, Dzulkiflee Daud, 53, dipercayai rebah secara tiba-tiba ketika sedang berehat pada separuh masa pertama perlawanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal, rakan mangsa memaklumkan kepada pihaknya bahawa mereka sedang berehat pada separuh masa pertama, dengan mangsa duduk sambil minum air dan sepotong pisang goreng sebelum tiba-tiba mengalami sesak nafas.

“Mangsa kemudiannya rebah di tepi padang. Rakannya juga memaklumkan mangsa pernah mengadu sakit dada beberapa hari yang lalu sebelum perlawanan,” katanya ketika dihubungi.

Ediansha berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selinsing dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis bagi tujuan bedah siasat.

Jelas beliau, tiada sebarang rekod perubatan diperoleh dan semakan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kematian mangsa yang bekerja sebagai buruh.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat serangan jantung,” katanya. – Harian Metro

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular