KOTA KINABALU: Kursus Emergency First Respond (EFR) dan Rescue Refresher yang diadakan pada 27 dan 28 Disember 2021 telah membuka ruang pulihkan aktiviti pelancongan di Sabah khususnya di daerah Semporna.
Kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah (KePKAS) menerusi agensinya Lembaga Pelancongan Sabah dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna telah menerima seramai 30 peserta.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kursus tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri Sabah untuk memulihkan aktiviti pelancongan khususnya aktiviti selam skuba yang merupakan salah satu aktiviti utama khasnya di Semporna.
“Aktiviti menyelam merupakan salah satu aktiviti pelancongan utama di negeri Sabah terutamanya di daerah Semporna. Dengan keindahan alam semulajadi, pemandangan dasar laut, Jurupandu Selam ataupun Divemaster memainkan peranan penting dalam mengendalikan aktiviti menyelam bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa”
“Perkhidmatan Jurupandu Selam diperlukan bagi memastikan keseronokan dan keselamatan pelancong berada pada tahap yang optimum,” katanya.

Jafry berkata, meskipun aktiviti tersebut telah lama terhenti akibat penularan wabak COVID-19 yang panjang, namun pihak Kementerian, Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengambil inisiatif untuk melatih semula Jurupandu Selam ataupun DiveMaster yang bekerja di daerah Semporna di dalam aspek kemahiran khususnya keselamatan, bagi mengelakkan sebarang kemalangan serta mengurangkan risiko tersebut berlaku.
Program tersebut bertujuan melatih Jurupandu Selam atau Divemasters dan dipersijilkan oleh Professional Association of Diving Instructors dalam mempertingkatkan semula kemahiran peserta, aspek keselamatan dan operasi menyelamat.
“Adanya kursus sebegini, pembangunan modal insan dapat ditingkatkan selaras dengan teras Program Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) agar mencapai objektif mengurangkan risiko Hirarki Bahaya serta meningkatkan imej Sabah sebagai destinasi perkhidmatan aktiviti skuba terbaik,” katanya.