MANILA: Bandar Filipina dikejutkan lagi dengan bencana ribut taufan Rai yang mula mendarat di bandar itu pada 16 Disember 2021 lalu. Susulan daripada bencana ini, jumlah angka kematian sangat membimbangkan dan angka kematian yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 389 orang.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) berkata, ketika negara itu bergelut menangani ancaman wabak penyakit covid-19, rakyat diduga lagi dengan bencana taufan Rai yang dilaporkan sebagai ribut paling kuat yang melanda Filipina pada tahun ini.
Daripada kenyataan yang dilaporkan oleh pihak NDRRMC, lebih 506,000 rumah mengalami kemusnahan.
“Sehingga kini, terdapat 314,676 individu ditempatkan di 1,179 pusat pemindahan sementara, 256,000 mangsa lain pula mendapat perlindungan daripada keluarga terdekat mereka”‘ kata jurucakap NDRRMC, Mark Timbal.
Lebih 1,100 orang individu cedera ketika ribut melanda, sementara 64 yang lain masih hilang. Secara keseluruhan, jangkaan jumlah individu yang terjejas akibat bencana ini menjangkau lebih empat juta orang.
NDRRMC menjelaskan, mangsa terjejas kebanyakannya di kawasan tengah dan selatan Filipina, khususnya di wilayah Cebu, Bohol dan kepulauan Dinagat serta pulau Siargao.
Tenaga elektrik sudah dipulihkan di 154 bandar, namun masih ada bandar yang terjejas kekal tanpa bekalan air dan talian komunikasi kerana masih belum dipulihkan sepenuhnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kesihatan, Maria Rosario Vergeire, berkata kebanyakan individu yang terlibat di Caraga dimasukkan ke hospital sementara, manakala laporan dari Cebu pula sedang disahkan oleh unit epidemiologi dan pengawasan serantau.
Beliau menambah Jabatan Kesihatan Filipina masih menyiasat punca bencana tersebut berlaku yang disyaki berpunca daripada air tercemar.
“Bencana ini berlaku mungkin berpunca daripada pencemaran, kerana paip bawah tanah dilaporkan rosak. Pasukan epidemiologi sudah dikerah untuk meninjau kawasan itu untuk menentukan punca gastroenteritis,” tambahnya lagi.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan semua agensi dan pegawai tempatan agar sentiasa menjaga keperluan asas dan perubatan mangsa taufan, terutama mereka yang kekal di pusat pemindahan.
Keprihatinan pihak atasan menjadi sumber kekuatan mangsa yang terkesan dengan ribut taufan Rai yang melanda bandar itu. Diharapkan keadaan ini semakin memulih agar rakyat Filipina kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.