KOTA MARUDU: Seramai 73 penduduk daripada 17 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Kebangsaan Teritipan selepas kediaman mereka dinaiki air, semalam.
Menurut Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kota Marudu, Rayner Saimon, terdapat enam kampung terjejas akibat hujan berterusan sejak awal pagi kelmarin, namun 73 mangsa yang dipindahkan ketika ini hanya dari Kampung Beliajung sahaja.
“Enam kampung terbabit ialah Kampung Asin-asin, Kampung Beliajung, Kampung Tingkalanon, Kampung Tongkungon, Kampung Taritipan dan juga Kampung Morion,” ujarnya.
“Setakat pukul 7 malam, semalam, keadaan Sungai Bandau dan Sungai Bongon berada di bawah paras waspada. Namun, hujan masih berterusan dan dijangka jumlah mangsa akan meningkat,” katanya lagi.
Jelas beliau, pihaknya akan memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong berkata, gelombang kedua banjir diisytiharkan berlaku di daerah itu berikutan paras air yang mencecah paras bahaya di kawasan Kampung Beliajung.
“Berdasarkan laporan situasi di lapangan, semua pusat pemindahan sementara akan dibuka serta-merta. Begitu juga dengan pusat kawalan operasi banjir Kota Marudu yang diaktifkan lebih awal dan secara rasmi digerakkan sepenuhnya,” katanya.