TAWAU: Tiga beradik yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam pada sabtu lepas di perairan Kampung Batu Payung ditemui meninggal dunia.
Bot berkenaan dikatakan terbalik di perairan Kampung Batu Payung menyebabkan tiga daripada sembilan penumpang bot tersebut maut, sementara enam penumpang lain berjaya diselamatkan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen, pihaknya dimaklumkan kesemua mangsa menaiki bot dari Kampung Rawa-Rawa batu 4, Jalan Apas menuju ke Kampung Batu Payung.
“Dalam pada itu, bot yang dinaiki mereka dipercayai karam sewaktu dalam perjalanan balik ke perairan batu 4,” katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Amiludin Yenggah berkata, sebelum ini mayat pertama dikenal pasti sebagai Jaidi Muhaimin, 5 tahun, ditemui terdampar di pesisir pantai, disusuli dengan mayat kedua iaitu Saiful Muhaimin, 15 tahun, dijumpai terapung tidak jauh daripada lokasi penemuan mangsa pertama.
“Kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, mayat mangsa terakhir yang dikenali sebagai Rahena Muhaimin, 20 tahun, ditemukan terapung oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jarak 2.9 batu nautika daripada lokasi bot terbalik berkenaan,” ujarnya.
Jelas beliau, mayat terakhir yang ditemukan pagi tadi telah dihantar ke Hospital Tawau bagi tujuan bedah siasat.
Dengan itu, operasi SAR di lokasi kejadian telah ditamatkan pada pukul 10 pagi tadi.
“Orang ramai dinasihati tidak turun ke laut pada ketika ini, berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu,” tambahnya lagi.