TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya merampas rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM13 648.80 di Kampung Hidayat, Batu 4, semalam.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Ridzauddin Selamat, sebaik sahaja mendapat maklumat berkaitan kegiatan berkenaan, pihaknya bergegas membuat serbuan ke atas sebuah rumah kosong di kampung terbabit.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, pihaknya menjumpai beberapa plastik hitam dan karung berwana putih yang berisi rokok pelbagai jenama. Dalam pada itu, bekalan tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran,” katanya.
Sementara itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, selain tangkapan dan rampasan diserahkan ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Jelas beliau, orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang terutama isu penyeludupan untuk membendungnya dengan lebih awal.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wil.4 Sabah di nombor 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628,” ujarnya.