KOTA KINABALU: Saddil Ramdani pemain import dari Indonesia kekal bersama Sabah FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2022 musim ini.
Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, Saddil yang mengesahkan status tersebut dan bakal menyertai kem latihan bermula pada khamis ini bersamaan 13 Januari selepas selesai menjalani kuarantin wajib di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, pihaknya menerima satu permohonan dari kelab Serbia melalui seorang agen bagi melepaskan Saddil, namun ditolak kerana kelab tersebut mahukan Saddil secara percuma tanpa sebarang yuran perpindahan.
“Kita tidak boleh menerima permintaan itu kerana kebanyakan liga di Asia Tenggara akan bermula tidak lama lagi dan mencari pengganti kuota pemain import Asia Tenggara bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.
Jelas beliau, proses perpindahan tidak boleh sama sekali dilakukan secara percuma dalam industri bola sepak professional, apatah lagi masih dalam kontrak. Sebaiknya perlu ada yuran perpindahan yang ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua-dua kelab.
“Kita juga memerlukan dana sekiranya ingin mengambil pemain baharu untuk membayar yuran agen termasuk yuran pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan media selepas selesai sesi latihan skuad The Rhinos di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin.
Menerusi sesi latihan pertama buat tiga tonggak pasukan kebangsaan iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Dominic Tan diharapkan mampu mengukuhkan lagi pasukan Sabah FC sekali gus mewujudkan keserasian dalam kalangan pemain.
“Walaupun pasukan Sabah FC sudah membuat persediaan yang cukup baik, namun sasaran bagi perjalanan Liga Malaysia musim 2022 masih belum ditetapkan dan pihaknya akan melakukan yang terbaik berbanding tahun sebelumnya,” ujarnya lagi.