MADRID: Sepanyol sudah memulakan langkah penyediaan dos keempat vaksin COVID-19 bagi golongan rentan, termasuk pesakit kronik dan mereka yang pernah menjalani pemindahan organ atau individu yang sedang melalui rawatan dialisis.
Menurut Kementerian Kesihatan Sepanyol, dos keempat akan mula diberikan kepada individu setelah lima bulan suntikan dos ketiga.
Bagi keseluruhan populasi pula, pemberian dos ketiga kini sudah meliputi individu yang berumur 18 tahun dan ke atas yang telah menerima suntikan dos kedua selama lima bulan.
Sepanyol merupakan antara negara yang mendahului pemberian vaksinasi COVID-19 pada peringkat global, dengan 90.5 peratus daripada populasi berusia 12 tahun dan ke atas sudah menerima imunisasi itu, setakat ini.
Selain itu, golongan kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun juga telah menerima dos vaksin pertama.
Hingga kini, Sepanyol mencatat 7.7 juta jangkitan covid-19 yang meliputi 90,508 kematian akibat COVID-19 dan dengan itu pihak bertanggungjawab mula mengambil langkah bagi mengekang penularan ini demi kebaikan bersama.