spot_img
HomeSemasaPenetapan baru tempoh kuarantin

Penetapan baru tempoh kuarantin

PUTRAJAYA: Setelah melakukan penilaian semula bagi tempoh kuarantin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tempoh baharu bagi pengasingan kes positif COVID-19 serta kontak rapat diubah kepada 7 hari sahaja.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata tempoh pengasingan kes positif COVID-19 yang membabitkan individu sudah lengkap divaksinasi serta tidak bergejala kini diubah kepada tujuh hari, berbanding 10 hari sebelum ini.

“Tempoh pengasingan tujuh hari khas bagi individu yang sudah divaksin dan tidak begejala manakala bagi individu positif yang tidak lengkap vaksin atau bergejala, tempoh pengasingan masih ditetapkan selama 10 hari dan penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan boleh diberikan,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, tempoh pengasingan bagi kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak hanya perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

Tempoh yang dinyatakan akan berkuat kuasa esok dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin buat masa ini.

“Bagaimanapun prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai,” katanya.

Khairy menambah, penilaian semula itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kes positif.

Sebelum ini, individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan tidak perlu melakukan ujian ulangan. Bagi kontak rapat yang sudah mendapatkan vaksin COVID-19 yang lengkap, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari dan menjalani ujian pada hari kelima.

Sekiranya kontak rapat berkenaan masih belum mendapatkan vaksin lengkap atau tiada vaksin, mereka perlulah menjalankan kuarantin selama 10 hari dan ulangi ujian pada hari kelapan.

Sementara itu, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

“Pelepasan kuarantin akan diberikan pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan, sekiranya keputusan negatif dan tidak bergejala,” katanya.

Pihak kesihatan sudah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

Oleh itu, KKM menyarankan agar semua individu yang layak menerima vaksin COVID-19 mendapatkan dos penggalak dengan kadar segera bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang semakin teruk.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular