SEMPORNA : Polis Semporna sedang memburu seorang lelaki bernama Astari berumur lingkungan 40 tahun ekoran penemuan sebuah kubur baharu di Tanah Perkuburan Kampung Halo, Semporna pada rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, setelah mendapatkan perintah Mahkamah untuk menggali semula kubur tersebut, pihaknya telah menemui mayat mangsa kejadian letupan sebuah pum bot yang berlaku di perairan Pulau Tatagan yang dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan.
Farhan berkata, mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Semporna untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Berdasarkan keadaan fizikal mayat yang dijumpai,mayat berkenaan merupakan kanak-kanak lelaki warga asing dipercayai berumur 10-tahun,” tambahnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” tambahnya lagi.
Menurut Supritendan Mohd Farhan Lee,orang ramai turut diminta tampil menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis khususnya aktiviti pengeboman ikan di daerah itu.
Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 019-8139851 ataupun IPD Semporna ditalian 089-782020.
Aktiviti pengeboman ikan adalah merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda 10 ribu ringgit atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.