Shah Alam: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disarankan memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada penerima yang berkemungkinan besar tidak bersesuaian sehingga memerlukan pemantauan mahupun rawatan lanjut.
Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, terlalu banyak kesan sampingan yang diterima namun tidak dapat dipastikan puncanya sehingga perlunya dipersoalkan semula akan kesan sampingan dos vaksin ketiga tersebut pada tubuh manusia.
Saranan tersebut dimuatnaik di halaman rasmi Instagram beliau semalam, berikutan ayahnya yang mula mengalami gejala muntah dan menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin Covid-19.
“Menurut doktor, beliau terkena sekali lagi strok di bahagian yang sensitif di kepala. Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak?”
“Saya tidak pasti. Hanya pakar yang dapat menjelaskan” tambahnya, sekaligus memaklumkan bahawa ayahnya sudah seminggu dirawat di hospital berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu mengaitkan kesan sampingan selepas pengambilan dos vaksin ketiga covid-19 ini bukan perkara baharu yang sememangnya sudah lama menjadi perbualan ramai.
“Kebetulan minggu sebelum itu, ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau sebelum itu sihat,”
“Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar. Keluarga beliau, orang kampung maka tidak menuntut siasatan terperinci.”
Tambah Mohd. Asri, sebelum ini seorang sahabatnya memaklumkan terdapat bakal ahli jemaah umrah telah meninggal dunia dipercayai selepas mengambil dos penggalak sebagai syarat umrah.
“Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar”
“KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga ALLAH merahmati kita semua,” jelasnya lagi.