KUANTAN: Seorang pengurus produk minuman dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM61,150 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata lelaki berusia 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada satu nombor yang tidak dikenali dan pihak mereka bertanya tentang status kad kreditnya.
Katanya, sebelum itu beliau telah menjelaskan bahawa dia tidak memiliki sebarang kad kredit namun mangsa kemudian disambungkan kepada suspek lain yang dikatakan dari Bank Negara Malaysia (BNM) dan beliau diminta untuk memberikan maklumat perbankan dalam talian yang membabitkan akaun simpanan, akaun semasa dan akaun kad kredit sebuah bank.
“Selepas maklumat diberikan kepada pihak tersebut, beliau mendapati jumlah wang dalam akaun banknya telah lenyap sebanyak RM61,150. Melihat keadaan itu, mangsa menyedari bahawa dia telah ditipu dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” jelas Mohd Wazir dalam kenyataannya.
Selain daripada kes pengurus tersebut, seorang lelaki berusia 27 tahun yang bertugas sebagai pembantu pusat dialisis juga mengalami masalah yang sama dimana dia telah kerugian sebanyak RM23,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mendakwa namanya tersenarai dalam pendaftaran syarikat yang mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM55,800.
Suspek mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan dan meminta wang dalam akaun itu segera dipindahkan ke akaun lain. Mangsa kemudian memindahkan RM11,000 ke dalam akaun sebuah bank dan RM11,000 lagi ke dalam akaun bank berasingan seperti yang dinyatakan suspek.
Setelah membuat semakan baki akaun bank miliknya, dia mendapati jumlah duitnya berkurang. Jumlah kerugian dialami sebanyak RM23,000.
Setakat ini, IPD Kuantan telah menerima sebanyak empat laporan kes penipuan Macau Scam yang membabitkan kerugian lebih daripada RM86,421 dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mohd Wazir menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pinjaman atau ugutan yang dilakukan oleh mana-mana pemanggil yang tidak dikenali.
Melihat kepada kes penipuan yang semakin membimbangkan kebelakangan ini, masyarakat digesa untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan perlulah merujuk pihak berwajib sekiranya mempunyai urusan yang melibatkan perbankan atau segala urusan yang melibatkan pihak kerajaan.