KOTA KINABALU: Sabah FC merancang lima perlawanan persahabatan pra musim sebagai medan untuk menguji keserasian dalam kalangan pemain sebelum bermulanya kempen Liga Malaysia 2022.
Datuk Ong Kim Swee berkata Sabah FC akan mengaturkan beberapa siri perlawanan persahabatan pra musim lain berikutan bukan mudah bermain bersama-sama kelab lain kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar.
“Kami akan berusaha untuk mengadakan perlawanan membabitkan beberapa kelab lain sebelum berakhir pra musim,” tambahnya.
“Sekurang-kurangnya kita perlu harungi empat atau lima perlawanan lagi sebelum bermulanya perlawanan liga,” tambahnya lagi selepas perlawanan persahabatan menentang Kinabalu Jaguar FC (KJFC).
Menurutnya, perlawanan itu Kim Swee banyak kelemahan yang perlu diperbaiki termasuk kurangnya keserasian dalam kalangan pemain sehingga perlawanan terikat 1-1.
“Ini perlawanan pertama kita, selepas sekian lama berehat. Masih banyak kelemahan di semua bahagian selain kekurangan kombinasi yang perlu diperbaiki selain berusaha untuk meningkatkan lagi tahap kecergasan pemain,” tambahnya.
“Kalau kita lihat, pasukan Sabah FC melakukan banyak pertukaran hampir keseluruhan pemain. Paling positif tiada kekejangan otot manakala pemain dapat mengakhiri permainan tanpa sebarang kecederaan,” tambahnya lagi.
Kim Swee berkata keputusan seri 1-1 bukan satu permulaan yang baik namun sedikit sebanyak Sabah FC dapat melihat ruang yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan akan datang.
“Kita masih ada lagi tujuh hingga lapan minggu sebelum bermula Liga Malaysia 2022. Kita berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan bukannya daripada satu bahagian tetapi hampir keseluruhan bahagian,” katanya.
Menurut Kim Swee Sabah FC masih memerlukan sedikit masa untuk mewujudkan keserasian memandangkan ada kalangan pemain yang baru berlatih bersama pasukan selama dua hingga tiga minggu.
“Kita percaya selepas dua atau tiga minggu ini, mutu permainan akan bertambah baik selain kombinasi dalam kalangan pemain akan dapat dimantapkan sekaligus berjalan mengikut perancangan sedia ada, ” tambahnya.
“Kita tahu pasukan KJFC bermain dalam Liga M3, sudah tentu mereka ingin membuktikan sesuatu apabila menentang pasukan berstatus kelab negeri,” tambahnya lagi.
Menurutnya, KJFC pasti mahu menunjukkan mutu pernainan terbaik mereka disamping cuba memperlajari sesuatu untuk dimanfaatkan bagi mengharungi perlawanan akan datang.
Di kesempatan itu, Kim Swee juga mengucapkan “Selamat Maju Jaya” kepada KJFC yang akan bertanding dalam Liga M3 yang akan datang. -Sabah FC