KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengelakkan penularan wabak di sekolah dan memastikan pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan serta berjalan lancar, suntikan vaksinasi membabitkan kanak-kanak adalah penting.
Pakar kesihatan turut melihat ia langkah penting dalam usaha menerima COVID-19 sebagai endemik dengan situasi penularan wabak ini tidak dapat dielakkan pada masa akan datang.
Prof Madya Datuk Dr Ahmad Fadzil yang merupakan Perunding Pediatrik dan Pakar Perunding Respiratori Pediatrik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, vaksinasi untuk kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga bawah 12 tahun adalah sesuatu yang wajar.
“Walaupun COVID-19, untuk kanak-kanak tidak seteruk orang dewasa tapi ada kanak- kanak yang mendapat gejala dan jangkitan yang teruk. Program vaksinasi kanak-kanak ini telah digunakan banyak negara dan dibuktikan efektif serta selamat sebagaimana untuk golongan dewasa.
“Selain itu, kanak-kanak juga boleh menjangkiti sesama mereka seperti di sekolah ketika bermain, dan juga menjangkiti orang dewasa termasuk kelompok berisiko tinggi.
“Oleh itu vaksinasi boleh membantu pengawalan penyakit dan mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya kepada BH, hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan, tempahan janji temu bagi pemberian vaksinasi untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahu akan dibuka hujung bulan ini, di aplikasi MySejahtera. Keutamaan hanya diberikan kepada kanak-kanak dengan masalah kesihatan.
Sementara Itu, Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki merupakan seorang Pensyarah Kesihatan Awam, Universiti Malaya (UM), berkata pemvaksinan kanak-kanak antara strategi memastikan sesi pembelajaran di sekolah berjalan lancar, bahkan pelajar dapat mengambil bahagian dalam sukan, permainan dan aktiviti berkumpulan dengan selamat.
“Kes dalam kalangan kanak-kanak juga boleh mengganggu sesi persekolahan dan memberi kesan kepada sistem pendidikan. Kesan tidak langsung adalah apabila kanak-kanak tidak dapat hadir ke sekolah dan dalam pengasingan sosial, mereka lebih terdedah kepada penderaan dan keganasan di rumah. Ini boleh meningkatkan tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.
“Kesan susulan tidak hadir ke sekolah juga menyebabkan kanak-kanak kehilangan akses kepada pelbagai perkhidmatan yang disediakan (di sekolah) terutama yang disasarkan kepada kanak-kanak berkeperluan khas seperti sokongan pembelajaran, terapi pertuturan dan latihan kemahiran sosial,” katanya.
“Mengikut kajian, tiada kesan sampingan serius dikesan.” Beliau berkata sambil mengulas kegusaran orang awam mengenai keselamatan vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak.
“Tindak balas imun kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun adalah setanding dengan individu berumur 16 hingga 25 tahun.
“Vaksin didapati 90.7 peratus berkesan dalam mencegah COVID-19 pada kanak-kanak lima hingga 11 tahun.
Tambahnya, walaupun kebanyakan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak tidak seteruk golongan dewasa, melalui vaksinasi, golongan ini boleh membantu melindungi ahli keluarga yang tidak layak untuk menerima suntikan pelalian itu selain ahli keluarga yang mungkin berdepan risiko lebih tinggi untuk sakit teruk jika dijangkiti.
“Ibu bapa tidak seharusnya bimbang kerana vaksin COVID-19 telah diuji selamat dan berjuta-juta dos telah digunakan untuk kanak-kanak di luar negara.” Kata Dr Amirul Amzar, Pakar Perubatan Keluarga yang juga Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3).
“Sebanyak 8.7 juta dos telah diberi kepada kanak-kanak, lima hingga 11 tahun, di Amerika Syarikat (AS). Hanya 12 kes myocarditis (radang jantung) berlaku daripada 8.7 juta suntikan dan semuanya sembuh tanpa komplikasi.
“Berdasarkan pengalaman negara luar, kesan sampingan akibat imunisasi (AEFI) vaksin Pfizer bagi individu dalam kumpulan usia ini adalah lebih rendah berbanding mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya. – Berita Harian