Tawau: Jabatan Air Tawau (JAT) mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 terhadap sebuah syarikat kontraktor selepas didapati membuat penyambungan air secara haram di Jalan Kuhara, semalam.
Jurutera Air Bahagian Tawau, Abd Halim Ag Marali berkata pihaknya mendapat maklumat berkaitan berlakunya kegiatan mencuri air di sebuah premis yang sedang dalam pembinaan di kawasan tersebut.
Bertindak atas maklumat, penguatkuasa JAT segera menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan terhadap laporan yang diterima kira-kira jam 11.07 pagi.
“Semasa siasatan dilakukan didapati terdapat satu penyambungan haram menggunakan ‘Poly Paip’ dari ‘Stand Paip’ dan disambungkan terus ke premis tersebut”
“Pasukan penguatkuasa JAT seterusnya memulakan kertas siasatan sebelum bertindak melakukan pemotongan ke atas sambungan haram tersebut,”
“Syarikat tersebut bakal disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003 kerana kesalahan melakukan penyambungan haram.”
Dalam masa yang sama, Abdul Halim menasihatkan semua pengguna di daerah ini supaya dapat mematuhi undang-undang sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003.
“Selain itu, mana-mana individu yang telah dikenakan pemotongan ke atas meter air mereka, dikehendaki untuk menjelaskan bayaran bil yang tertunggak dengan segera,” katanya.
Abd Halim berkata JAT memohon kerjasama dari orang ramai supaya memaklumkan sekiranya mendapati terdapat berlakunya sebarang kecurian atau kebocoran paip air di kawasan mereka.
“Sebarang aduan atau maklumat boleh terus menghubungi ke nombor Careline Jabatan Air Sabah di 088-326888.” Tambahnya lagi. -Utusan Borneo