spot_img
HomeJenayahJANS rugi RM150 juta setahun, sambungan paip haram kawasan setinggan

JANS rugi RM150 juta setahun, sambungan paip haram kawasan setinggan

Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) rekodkan kerugian lebih RM150 juta setahun di Sabah membabitkan kes curi bekalan air dari penyambungan paip haram di beberapa kawasan berkait.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Edward Lingkapo berkata, operasi bersepadu pemotongan sambungan paip haram yang dilaksanakan pagi tadi melibatkan beberapa kawasan penempatan setinggan di kawasan tanah milik Jabatan Pertanian Negeri Sabah, membabitkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, penempatan setinggan antara lokasi yang merekodkan jumlah kes curi bekalan air tertinggi di negeri ini.

“Kebanyakan penduduk di kawasan penempatan setinggan menggunakan taktik menebuk saluran paip utama dan membuat sambungan ke rumah-rumah di kawasan terlibat”

“Di kawasan utara daerah ini sahaja merekodkan jumlah penggunaan air sehari sekitar 400 juta liter termasuklah kawasan Telipok, Manggatal, Sepanggar, dan berhampiran Tuaran, sekaligus mencatatkan sebanyak 29 peratus penggunaan air tersebut melibatkan penyambungan haram di kawasan setinggan”

Bagaimanapun tambah Edward, masalah berkenaan tidak akan dapat diselesaikan selagi kawasan penempatan setinggan masih wujud di negeri ini.

“Sekurang-kurangnya setiap tiga bulan kita akan menjalankan operasi dan kali ini kita memfokuskan kepada penguatkuasaan penduduk yang menjalankan kegiatan curi air”

“Bidang kuasa JANS hanya memotong bekalan air, namun selagi penduduk tidak berpindah, isu ini tidak akan selesai dan mereka akan membuat sambungan haram semula”

“Di kawasan utara Kota Kinabalu antara yang mempunyai keperluan air amat mendesak berikutan kekurangan loji untuk menampung kapasiti air yang diperlukan penduduk,” jelasnya.

Beliau berkata, kes curi air di kawasan terbabit merekodkan kira-kira lapan juta liter air sehari dengan jumlah kerugian sebanyak RM106,000 iaitu RM4 juta setahun.

Sehubungan itu, beliau berharap jabatan dan agensi yang berkaitan bekerjama dengan pihak JANS untuk sama-sama membantu menangani masalah ini secara menyeluruh.

Pihaknya turut meminta bantuan komuniti setempat untuk tampil melaporkan sebarang maklumat berhubung kes penyambungan paip haram kepada JANS seterusnya pemantauan akan segera dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular