Sipitang: Pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang menahan dua lelaki tempatan atas kesalahan menagih dadah di sekitar kawasan Sipitang dalam dua operasi berasingan, semalam.
Hasil pemeriksaan oleh pasukan polis IPD Sipitang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik petang semalam telah berjaya menahan kedua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai terlibat aktiviti penagihan dadah.
Jurucakap pasukan Polis Sipitang, Inspektor Wan Hafiz, yang turut sama dalam operasi, kedua suspek dicekup di dua lokasi berasingan melibatkan dua buah rumah tidak bernombor di Kg Guruh-Guruh, Sipitang dan sebuah rumah lagi bertempat di Kg Batu 2, Jalan Sindumin Sipitang.
“Pemeriksaan di rumah pertama, ditemukan sebuah plastik cerah didapati mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu. Anggaran berat kasar dadah syabu tersebut adalah 5.15 gram”
“Manakala serbuan di rumah kedua pula menemukan seorang lelaki warga tempatan dipercayai menagih serta disahkan memiliki 3 rekod lampau berkait dadah”
Berikutan itu, pemeriksaan dan ujian saringan yang dijalankan mendapati kedua suspek telah positif dadah jenis Amp dan Meth, sebelum dibawa ke Pejabat Narkotik IPD Sipitang bersama barang rampasan dadah.
Sementara itu, pasukan polis IPD Sipitang meminta kerjasama dari komuniti setempat khususnya warga Sipitang untuk menyalurkan apa sahaja maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah agar daerah Sipitang terbebas dari gejala dadah.


