RANAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bakal memiliki balai bomba yang tertinggi di Malaysia pada ketinggian lebih 3,382.2 meter dari aras laut dan terletak di Panalaban, Gunung Kinabalu.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan berkata, balai bomba atau pusat operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MoSAR) akan dibina di tapak bekas bangunan asrama di Gunting Lagadan Hut yang dikosongkan selepas tragedi gempa bumi 2015.
“Kita mendapati tiada bangunan khas yang sesuai untuk keperluan MoSAR sejak penubuhannya pada 2015, ekoran kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015,” katanya.
Jelas beliau, pasukan MoSAR hanya ditempatkan di bilik penginapan berdekatan kawasan Panalaban dan seramai 42 anggota yang bertanggungjawab bagi menghadapi kecemasan dan bencana sepanjang laluan ke puncak Gunung Kinabalu.

“Sebelum ini, kami telah melakukan tinjauan ke penginapan MoSAR dan mendapati kawasan tersebut kurang sesuai dan memerlukan penambahbaikan. Oleh itu, hasil perbincangan awal kami dengan Taman-taman Sabah (TTS), mereka mencadangkan supaya Gunting Lagadan Hut dijadikan sebagai lokasi operasi MOSAR.
Walau bagaimanapun, perbincangan lanjut akan diadakan dengan TTS, berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu disemak semula dari segi keselamatan dan aset.
Mengulas lanjut, keahlian dan Prosedur Operasi Standard (SOP) MoSAR juga akan dikaji semula untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Kami sedang merancang beberapa lokasi di sepanjang laluan untuk kawasan pementasan bagi memastikan tahap kestabilan mangsa dari semasa ke semasa,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, sebanyak 259 kes telah dilaporkan dalam operasi menyelamat dijalankan membabitkan pendaki yang turun dari Gunung Kinabalu dan kebanyakan kes berpunca daripada Acute Mountain Sickness (AMS), kesejukan yang melampau dan tercedera.


