Keningau: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 17 Kampung Kobulu Jalan Sook, semalam.
Nahas yang berlaku pada petang semalam itu mengorbankan seorang lelaki berusia 23 tahun, disahkan maut oleh pasukan perubatan sejurus dikeluarkan dalam keadaan tersepit oleh pasukan penyelamat di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.54 petang sebelum mengarahkan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook ke lokasi kejadian.
“Kemalangan tersebut membabitkan dua kenderaan jenis sedan yang turut dinaiki oleh keseluruhan lima individu,” katanya.
“Laporan sementara, seorang mangsa lelaki terkorban, manakala empat lagi mangsa berumur 24 hingga 57 tahun berjaya keluar sendiri dari kenderaan kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Sook oleh pihak ambulans untuk menerima rawatan selanjutnya”
Tambahnya, operasi keseluruhan tamat sepenuhnya setelah pemeriksaan akhir dilakukan untuk memastikan lokasi kejadian selamat bagi pemandu lain.
Sementara itu, jasad mangsa yang terkorban diserahkan kepada pihak polis untuk keperluan siasatan dan tindakan selanjutnya.