spot_img
HomeSosiobudayaAmbuyat makanan tradisional unik, santapan harian dan pesta keramaian

Ambuyat makanan tradisional unik, santapan harian dan pesta keramaian

Ambuyat merupakan makanan tradisional di Sabah, Sarawak, Brunei, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Di Sabah, selain daripada kaum Brunei, ambuyat juga menjadi makanan tradisional bagi kaum-kaum lain seperti kaum Bisaya dan Kadazandusun.

Menurut Ahli Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), Asnizah Mazlan berkata ambuyat tidak hanya dimakan semasa perayaan tetapi juga menjadi salah satu menu harian di dalam  masyarakat etniknya.

“Dalam konteks perayaan, memang benar ambuyat juga dimakan semasa perayaan kerana ambuyat dimakan, apabila ramai ahli keluarga berkumpul dan balik ke kampung. Makanan ini sedap dimakan apabila bersama dengan ramai orang,” katanya.

Asnizah juga sempat berkongsi proses membuat ambuyat yang bermula dengan menyediakan bahan seperti Sago.

“Sago merupakan sejenis tepung yang diperbuat daripada pokok Rumbia,” jelas Asnizah.

Pokok Rumbia – Foto Bicara Mentari

Asnizah berkata, langkah pertama, letakkan tepung sago di dalam mangkuk atau mana-mana bekas makanan yang sesuai.

Kemudian campurkan sedikit air ke dalam tepung tersebut dan sebatikan sehingga menjadi cecair.

Seterusnya, tambahkan tepung yang telah disebatikan menjadi cecair tadi dengan air yang panas secara perlahan-lahan.

Setelah itu, semasa air panas tersebut ditambahkan ke dalam tepung tadi, tepung tersebut perlu digaul dengan alatan seperti senduk atau apa sahaja yang sesuai sehingga kental ataupun masak,” tambah Asnizah.

“Apabila proses tersebut selesai, ambuyat sedia untuk dihidangkan,” tambahnya lagi.

Candas – Foto Lau Shiuan Shian

Menurut Asnizah, bagi etnik Brunei, ambuyat dimakan dengan menggunakan satu alat yang dinamakan sebagai candas.

“Candas merupakan alatan untuk menyepit makanan ataupun untuk menyepit ambuyat seperti chopstick tapi berlainan bentuk dan cara penggunaan,” tambahnya.

“Sebagai maklumat tambahan biasanya ambuyat tidak dimakan bersahaja, tetapi dimakan dengan pelbagai sajian lain seperti ikan berkuah, daging berkuah, sayur-sayuran, ulam-ulaman,” tambahnya lagi.

Pendek kata, ambuyat berfungsi seperti nasi yang dimakan dengan pelbagai jenis hidangan.

 

Penulis: Lau Shiuan Shian

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular