KUALA KANGSAR: Aktiviti konvoi bertukar tragedi apabila pasangan suami isteri dilaporkan terlibat dalam kemalangan dan mengalami cedera parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta di kilometer 234, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata mangsa dikenali sebagai Mohamed Akbar Mohamed Zakaria, 50, dan isterinya, Bakiah Mohamad, 38, difahamkan telah tercampak daripada motosikal selepas merempuh sebuah kereta ketika mengikuti konvoi.
Jelas beliau lagi, selepas kemalangan tersebut berlaku motosikal yang dinaiki pasangan berkenaan terbakar.
Bomba segera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran yang berlaku dan mangsa yang terlibat segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan.
“Pihak bomba memadam api bersumberkan air tangki jentera, kemudian mangsa yang terlibat diberikan rawatan awalan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya.
Beliau berkata, panggilan laporan kejadian diterima pada jam 1.34 tengah hari dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar segera ke lokasi kejadian.


