KOTA KINABALU : Datuk Ong Kim Swee mengingatkan semua pemain Sabah FC agar tidak terlalu tertekan dengan keputusan perlawanan persahabatan pramusim dan harapan penyokong, sebaliknya terus fokus untuk memperbaiki permainan mereka.
Ketua jurulatih itu berkata beliau amat memahami harapan peminat untuk Sabah FC mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan dihadapi, namun masa ini pihaknya sedang mengenal pasti kelemahan dan kekuatan setiap pemain bagi menyediakan pasukan menghadapi Liga Malaysia musim ini.
Menurut Kim Swee juga,kekalahan Sabah FC 0-1 kepada pasukan Liga Perdana, Kuching City FC dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Likas pada semalam tidak sepatutnya dijadikan alasan menekan pemain, sebaliknya menjadi pengajaran dalam memperbaiki permainan skuad.
“Pasukan kami tewas dengan serangan balas, ini pasti memberi kami pengajaran, yang paling penting keputusan bukan untuk semalam tetapi bermula Liga Malaysia nanti kami tidak boleh mengulangi kesilapan atau tidak dapat jaringkan sebarang gol,” tambahnya.
“Ini lumrah pasukan tertentu bertahan melengah masa, bagi saya ini hanya suatu permulaan yang kami tidak boleh tertekan dengan situasi seperti ini, kami harus belajar,” tambahnya lagi.
Kim Swee juga berkata kehadiran tiga pemain import Sabah FC dijadual minggu depan dilihat bakal membawa perubahan kepada strategi permainan yang sedang dicaturnya untuk pasukan itu.
“Sabah FC bakal berdepan dengan skuad bawah 23 tahun kebangsaan dalam satu lagi perlawanan persahabatan minggu depan dan berharap semua pemain dapat menunjukkan prestasi lebih baik dalam perlawanan tersebut,” tambahnya.
Musim ini Sabah mengekalkan dua pemain import iaitu pemain pertahanan Park Tae-Soo dari Korea Selatan serta pemain sayap Saddil Ramdani dari Indonesia, dan pasukan itu masih mempunyai kekosongan kuota tiga pemain import. – BERNAMA