KUCHING : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyatakan kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak terpelihara selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hajiji berkata semasa menghadiri pertemuan bersama Ketua Menteri Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sempena lawatan rasmi sulungnya ke Sarawak sebentar tadi di Wisma Bapa Malaysia (WBM), Petra Jaya, Kuching Sarawak.
Menurut Hajiji, beliau telah membincangkan banyak perkara bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada dengan Sarawak sekali gus meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.
“Tambahan pula, Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah dan perjuangan. Oleh itu, terdapat banyak sinergi untuk dimanfaatkan untuk kebaikan kita bersama,” tambahnya.
Kesempatan itu,Hajiji juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari atas kejayaan mendapatkan mandat yang jelas untuk menerajui kerajaan.
“Terima kasih juga kepada Ketua Menteri Sarawak di atas kesudian bertemu saya pada hari ini. Sehingga bertemu lagi,” tambahnya.
Turut mengiringi dalam pertemuan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua Menteri l, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri ll, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri lll, Datuk Haji Kadzim Haji M. Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.