IPOH: Jabatan Perdana Menteri (JPM) bahagian Hal Ehwal Agama tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah bermula dan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 26 Januari lalu.
Menteri JPM bahagian Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad berkata, JPM memberikan kepercayaan penuh kepada penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) untuk menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020.
“Siasatan sedang dijalankan dan kami tidak mahu campur tangan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kewangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tawas, kelmarin.
Sementara itu, mangsa menerima bantuan wang tunai RM300 dan barangan keperluan bernilai RM100 setiap keluarga bagi meringankan beban mereka.
Jelas beliau, RCI perlu bertindak sebagai badan bebas tanpa sebarang campur tangan pihak lain dan kini JPM sedang menunggu hasil siasatan sebelum tindakan lanjut boleh diambil.
Sehubungan itu, kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pelantikan enam anggota RCI pada 19 Januari lalu.
Pada 14 Julai tahun lepas, kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi TH.
Siasatan dalaman yang telus dan amanah amat diperlukan bagi memastikan TH menjalankan mandatnya secara profesional dalam menguruskan simpanan orang Islam. – Borneo Post Online


