spot_img
HomeSemasaSabah mula beri vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak

Sabah mula beri vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak

KOTA KINABALU: Sabah memulakan pemberian vaksinasi COVID-19 kanak-kanak berumur antara 5 hingga bawah 11 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids), kelmarin.

Lima hospital telah dipilih untuk memulakan program tersebut, iaitu Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Hospital Duchess of Kent Sandakan serta Hospital Keningau, Lahad Datu dan Tawau.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, program itu akan diperluas ke bahagian lain di negeri ini mulai 5 Februari dan sebanyak 251 pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan, termasuk hospital kerajaan dan swasta.

“Setakat ini, seramai 23,578 kanak-kanak telah mendaftar untuk vaksinasi mereka melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Rose Nani berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Sabah sekiranya ada sekolah yang memohon untuk pemberian vaksin di sekolah.

Jelas beliau, program imunisasi kanak-kanak di Sabah akan dijalankan melalui walk-in, secara jangka luar (outreach), iaitu ke sekolah atau PPV awam.

Dalam pada itu, bayaran bagi mendapatkan vaksin COVID-19 ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan orang awam tidak perlu membuat sebarang pembayaran.

Bagi kanak-kanak yang mengambil vaksin COVID-19 akan disuntik sama ada pada lengan atau paha mereka, dan dinasihatkan memakai pakaian yang bersesuaian.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular