KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak ada pertelagahan dan hubungan sesama komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah utuh.
Hajiji juga berkata bahawa hubungannya dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah,Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili, dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan serta semua rakan komponen GRS yang lain adalah sangat mesra dan semakin lama semakin kuat.
Menurut Hajiji, tidak pernah berlaku salah faham antara kami walaupun orang lain sering bercakap tentang kami.
“Meskipun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS,” tambahnya.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat Sabah dan negeri ini,” tambahnya lagi.
Hajiji berkata, dengan penjelasan ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Datuk Seri Bung Moktar, Datuk Seri Maximus dan Datuk Seri Jeffrey.
“Kita juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” tambahnya.