Sandakan: Seorang wanita cedera selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Batu 9 Jalan Lintas, semalam.
Kemalangan yang berlaku dikirakan pada jam 1.30 petang, semalam itu melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.49 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota dan pegawai bersama dua buah jentera ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, seorang mangsa berumur 50 tahun masih berada di dalam keretanya, manakala seorang lagi telah keluar sendiri tanpa sebarang kecederaan,”
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, namun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki,”
Menurutnya, mangsa telah pun diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat sebelum dirujuk ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan.
“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat untuk pengguna jalan raya yang lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.23 petang,” tambahnya lagi.


